~Ayat Power 24: terBAIK~

Berita kehamilan yang aku terima tadi belum aku kongsikan dengan insan-insan yang rapat dengan aku. Einsten, kedua belah keluarga kami, mahupun teman serumah belum aku maklumkan. Bukan tak gembira dengan berita tersebut, tapi entahlah susah ditafsir rasa hati.

Sikap berahsia Einstein membuatkan aku mahu berahsia juga. Sampai sekarang, dia menyembunyikan isi sampul surat putih di tangannya. Bila aku bertanyakan padanya , dia berdalih denganku.

” Private and Confidential,” balasnya ringkas.

Kalau Einstein bijak menyimpan rahsia, aku juga mahu menyimpan berita gembira ini seorang diri. Biarpun seharusnya berita ini dikongsikan bersama, aku tak mahu berbuat demikian. Jauh hati benar aku dengan sikapnya. Pembawaan budak agaknya!

” Kalau Bilah pregnant nanti, abang hantar surat minta tukar bahagian yang tak berat sangat. Kesian dekat isteri abang penat nak melayan orang-orang istimewa. Lagi pun, bahaya juga. Tak pasal-pasa kenan dia orang nanti,” suara Einstein tenang.

Aku menatap mukanya. Kata-katanya cukup bersahaja, seakan dia maklum keadaan aku. Cuma dia tak menyatakan secara berterus-terang, penuh kata-kata tersirat dan berkias.

” Tak mahu la tukar-tukar bahagian. Bukannya susah mana pun melayan dia orang. Tak ada nak kenan ke apa ke. Jangan percaya la benda-benda mengarut ni,” tempelakku.

Einstein tergelak. Dia meraih bahuku rapat padanya. Aku diburu rasa serba tak kena. Kononnya nak berahsia, tapi tak pasal-pasal tercerita pula. Dengan reaksi aku yang sebegini, sudah tentulah Einstein dapat mengagak berita yang aku cuba sembunyikan darinya.

” Isk, mana boleh tak tukar. Abang risaukan keselamatan isteri abang la. Tak baik melayan cakap suami tau, ALLAH tak redha nanti,” balas Einstein sambil ketawa mengeringai.

Aku terdiam, berfikir sejenak kebenaran kata-kata Einstein. Sama seperti pesanan Dr. Najwa sebentar tadi. Kiranya mahu tak mahu aku harus akur dengan sebarang keputusan dia. Suami mana tak sayangkan isterinya? Nak pula dalam keadaan sebegini, lagilah berganda-ganda rasa risaunya. Tapi untuk membuka cerita padanya, aku masih tak mahu. Masih ada rasa sakit hati dan terluka dengan apa yang aku terima sebelumnya.

” Macam ni barulah isteri abang. Tak melawan cakap, ikut je saranan abang. Isteri solehah dan ibu mithali pada anak-anak kita nanti. Insya-ALLAH,” ujarnya penuh yakin.

Senyuman aku lemparkan padanya. Perpisahan kami petang itu tanpa perkongsian berita gembira tersebut. Einstein tak menduga aku sedang mengandungkan tanda cinta kami kerana butir bicaranya tidak sedikit pun menandakan dia sudah tahu. Tapi entahlah, mungkin dia sudah tahu tapi berpura-pura sahaja. Mahu aku membuka mulut dan bercerita. Tapi aku sendiri pun tak pasti dengan rasa hatiku. Jadi, bila berita ini akan sampai ke telinganya kalau aku terus bersikap begini? Entah lah!

————————————————————

Belum ada perubahan yang ketara aku rasakan di usia 2 bulan kehamilanku ini. Selera makan aku masih sama, tidak berkurang dan tidak juga bertambah. Rasa penat seharian bekerja seperti biasa. Cuma aku lebih sensitif dan mudah tersinggung. Kerana itu jugalah, Einstein belum tahu soal ini biarpun sudah seminggu berita gembira itu aku terima. Kesibukannya membuatkan aku makin jauh dari dia. Biarpun ada dia bertanya khabar dan berita, aku rasakan hambarnya hubungan kami. Tapi bukan salah dia sepenuhnya. Salah aku juga kerana terus berahsia  dengannya.

” Takkan sebab dia tak telefon kau semalam, kau nak boikot dia hari ni. Kesian dekat dia tunggu macam orang hilang arah depan rumah ni,” pujuk Dania bila aku tidak mahu berjumpa dengan Einstein.

Einstein datang ke rumah petang selesai waktu kerja bila aku tidak mengangkat panggilan telefonnya. Jelas di mata, raut kegusaran di wajahnya dengan sikap aku. Tapi susah benar aku mahu berdepan dengannya saat ini. Semuanya berpunca dari rasa cemburu di hati.

” Bukan sebab dia tak telefon aku la, aku merajuk. Dia boleh keluar makan dengan kawan perempuan satu bahagian dengan dia. Dengan aku, susah kemain nak makan sama. Waktu lunch, ada kes masuk la. Itu la, ini la. Dasar lelaki, mulut manis,” luahku geram.

Dania mengekek ketawa. Tak menduga aku mempamerkan rasa geramku barangkali.

” Dia bukannya keluar berdua kan dengan perempuan tu? Keluar ramai-ramai. Itu pun nak jeles ke?,” tanya Dania lagi.

” Aku tahu la. Tapi dia buat nampak tak nampak je aku masa tu. Sampai hati dia buat aku macam ni.”

Dania menggeleng kepala dengan sikapku. Pelik tapi benar ragamku hari ini.

” Apa kena dengan kau ni Nabil? Tak pernah hayat merajuk. Sekarang merajuk tak dapat dipujuk lak,” soal Dania. Muka peliknya dipamerkan pada aku.

” Tak ada kena apa-apa lah. Biasa la isteri cemburu dengan suaminya. Sekejap lagi aku jumpalah si Einstein tu,” balasku pendek.

Dania menggeleng kepala dengan jawapan aku. Dia pantas berlalu.

” Jap..jap, jangan-jangan kau mengandung tak?”

Kata-kata sebelum dia menutup pintu membuatkan aku bungkam. Melihat perubahan muka aku, Dania masuk kembali ke dalam bilik. Pandangan matanya tajam pada aku.

” Betul la ni? Dah berapa bulan?,” soal Dania tidak sabar.

Aku mengangguk kepala. 2 jari aku pamerkan padanya. Perlahan-lahan, bibir Dania mengukir senyuman.

” 2 minggu ke 2 bulan?,” sedikit mendesak pula bunyinya.

” Bulan.”

” Alhamdulillah, akhirnya. Tak sabar dah aku nak jadi Cik Dania,” jerit Dania kuat. Jelas kegembiraannya dengan berita ini.

Aku pantas menutup mulutnya. Pasti Einstein mendengar jeritan Dania. Tak sanggup aku bayangkan betapa kecewanya dia bila mengetahui bukan dari mulutku sendiri. Aduhai, complicated pula hidupku ini.

” Nabil, jangan kata Einstein pun tak tahu lagi pasal ni,” terkejut benar raut Dania.

Aku mengangguk kepala perlahan. Dania menggeleng kepala tak percaya.

” Dah, tak payah nak pening-pening kepala. Cerita je dekat dia sekejap lagi. Jangan merajuk-rajuk lagi,” pesan Dania sebelum meninggalkan aku.

Dia membuka pintu. Jelas di pandangan, Einstein memandang aku dengan raut terkejut. Tiada senyuman dipamerkan, serius benar dia. Aku diburu rasa serba salah. Serta-merta, aku rasakan seram sejuk badan aku.

———————————————–

Einstein melangkah masuk tanpa disuruh. Dia melangkah menghampiri aku. Aku mengetap bibir bila aku rasakan dia duduk di sebelah aku.

” Assalamualaikum mama dan baby,” suaranya tenang, seakan tidak ada apa yang menganggu fikirannya.

Aku masih berdiam diri. Terpana dengan sikap tenangnya.

” Menjawab salam hukumnya wajib. Tak baik tak jawab salam. Nak pula dari suami sendiri,” tambahnya lagi, nadanya seperti bergurau.

” Waalaikummussalam. Dah jawab tadi, dalam hati,” balasku perlahan.

Dia tergelak kecil. Aku memandangnya kehairanan. Bila mata kami bertentangan, aku mengalihkan pandangan ke arah lain. Sekali lagi, ketawanya meledak.

” Sejak bila Bilah malu-malu dengan abang ni? Baby tak kasi mama main mata dengan papa dia ke?,” soalnya sambil meraih tangan aku.

Tiada reaksi dari aku. Sekadar membiarkan dia menunjukkan kemesraannya padaku.

” Ya Allah, sejuknya tangan. Tak sihat ke ni?,”

Laju aku menggeleng kepala. Dia mengeratkan genggaman tangannya. Satu lagi tangan mengeratkan pelukan di bahuku.

” Abang dah datang pujuk, takkan nak merajuk lagi. Kesian dekat abang. Ada berita gembira, tahu lambat dari orang lain,” bunyinya seperti merajuk.

Aku berpaling ke arahnya. Dia menatap mataku. Jelas terpamer, kasihnya yang melimpah.

” Sorry,” ucapku pendek.

Dia menggelengkan kepalanya. Badanku dipalingkan menghadap dia.

” Abang yang patut minta maaf. Sibuk sangat dengan kerja sampai tak perasan perubahan isteri abang. Erm, dah berapa lama Bilah tahu ni,” soalnya lembut.

” Isnin hari tu. Bilah nak bagitahu abang tapi takut abang tak suka,” alasan aku membuatkan dia ketawa.

” Ada pula abang tak suka. Abang gembira dah bersyukur sangat-sangat adalah. Bilah..Bilah. sebab takut abang tak sukalah merajuk dari semalam ni?.”

”Bukan la. Sebab abang layan kawan-kawan satu kerja dengan abang. Punya gembira sampai Bilah ada dekat kafe pun tak nampak. Sampai hati abang,” suaraku perlahan.

” Ya Allah, sebab tu ke? Serius sayang, abang tak perasan pun Bilah ada dekat kafe tu. Kalau lah baby dengan mama ade dekat situ, confirm abang pergi dekat orang yang paling abang sayang ni. Tahu tak?,” luahnya.

Aku mencebikkan bibir. Iyalah tu. Pandailah nak beralasan, konon-konon nak memujuk aku. Tanpa aku duga, lembut aku rasakan kucupan di bibirku. Tak diduga dengan reaksi spontannya.

” Merajuk lagi ke sayang?,” soalnya dengan muka nakal.

Aku menanggukkan kepala. Dia tersenyum lagi sebelum menghadiahkan kucupan di kedua belah pipiku pula. Rasa gembira berbunga di hati. Tanpa sedar, aku mengukir senyuman dan memeluknya erat. Bisikannya membuatkan rasa gusar di hati segera berlalu pergi.

” Terima kasih sayang. Love you so much,” bicaranya cukup romantis. Sungguh, hanya dia yang mampu menghilangkan segala keraguan di hati ini.

————————————————-

Panjang khutbah dari mama bila aku memaklumkan padanya berita kehamilanku ini. Panas jugalah telinga mendengarnya.

” Jangan degil dah, nanti degil cucu mama. Makan minum jaga. Jangan ikutkan rasa hati. Seribu kali tak suka minum susu pun, fikirkan baby dalam kandungan Along tu. Mama tak mahu cucu mak tak sihat,” tegas mama menasihati aku.

Aku mengiakan sahaja. Sudah tentulah aku harus menuruti segala nasihat mama yang lebih berpengalaman soal mengandung ni.

” Banyakkan makan buah juga. Lagi satu, kerja-kerja juga, rehat jangan lupa. Erm, pasal nak minta tukar bahagian tu dah dapat belum?”, soal mama cemas.

” Belum lagi mama. Minggu depan baru tau keputusannya macammana. Seminggu dua ni, mahu tak mahu Along kena masuk bahagian psikiatri juga,” balasku.

” Mudah-mudahan cepat dapat tukar. Bahaya juga kalau Along bertugas dekat situ. Bukan boleh jangka apa-apa nak jadi. Sebelum jadi apa-apa, eloklah kita beringat,” tambah mama.

Aku juga mengharapkan hal serupa. Walaupun awalnya aku berdegil tetap mahu menghabiskan praktikal sebagaimana jadual ditetapkan, cerita Dr. Najwa  membuatku mengubah fikiran. Bimbang kalau diapa-apakan pesakit yang diluar kawalan. Akhirnya, Einstein mengutarakan janjinya. Dia mengemukan permohonan pertukaran aku ke bahagian yang lebih ringan dan selamat untuk isterinya ini. Dan sebagai isteri yang baik, aku akan menurut apa juga keputusan yang diperkirakan baik untuk aku dan anak kami.

———————————————–

Ibu di Gombak sanggup datang ke rumah lewat malam semalam untuk melihat keadaanku. Biarpun aku memaklumkan segalanya baik belaka, dia tetap bertegas mahu menemuiku. Bimbang benar dia.

” Kesian betul dengan Nabilah. Sibuk nak habiskan clinical, sibuk juga kena bawa perut ke sana ke mari,” keluh ibu.

Eisntein yang berada di sisiku tergelak kecil dalam selorohnya.

” Kalau tinggal perut, tak keluar la cucu ibu.”

Ibu menghadiahkan cubitan di peha Einstein. Dia mengeringai kesakitan. Siapa suruh bergurau tak kena tempat, dah dapat hadiahnya.

” Kalau Angah buat perangai, Bilah report dekat ibu. Tahulah ibu nak buat apa nanti.”

” Mana ada buat perangai ibu. Bilah kena buatan Angah je. 7 bulan lagi, keluarlah hasilnya,” gurau Eisntein lagi.

Aku menjelingnya geram. Tak habis-habis nak bergurau senda. Dia mengeratkan pelukannya. Di depan ibunya pun, dia tak malu mempamerkan rasa sayangnya. Bertuah sungguh aku kerana menjadi isterinya.

” Lepas ni macammana? Jadi tak nak sewa rumah sendiri? Dengan keadaan Bilah macam ni, Angah kena bagi perhatian lebih. Kalau duduk asing-asing macam ni, silap-silap baby tak kenal papanya nanti,” seloroh ibu pula.

Einstein memandangku. Sebagaimana kesepakatan kami semalam, dia menyampaikan pada ibu.

” Untuk sementara waktu ni, memang duduk asing-asing dulu ibu. Angah sibuk sikit dekat emergency. Nanti kalau dah ok, barulah kami pindah rumah. Lagi pun, tak jumpa lagi rumah yang orang nak sewakan. Kalau Bilah duduk dengan kawan serumah, at least ada orang perhatikan Bilah. Tak adalah risau sangat Angah.”

Aku kira itulah jalan terbaik untuk sekarang. Paling tidak, ada orang yang mengawal makan minumku dan memastikan aku patuh dengan nasihat dan saranan ibu dan mama. Penjagaan kandungan yang baik yang sudah diamanahkan pada Nani dan Dania oleh keduanya. Apa nak buat, ikut jelah! Akukan anak dan menantu terbaik! Isteri terbaik dah pasti. Ibu terbaik suatu hari nanti!Insya-ALLAH

3 Responses

  1. mizd Says:
    June 11th, 2010 12:55 pm

    besh sgt!!!
    hope nabil n eistein bhgia k akhr hyat

  2. MaY_LiN Says:
    June 11th, 2010 6:00 pm

    pela akan jadi nnti..
    saspen sungguh..

  3. nursya Says:
    June 11th, 2010 6:31 pm

    biler la nk terrbongkar suma rahsia nie..
    saspen btl nk tau nie…
    huhuhu…

Leave a Reply